Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, percaya Liga Juara-Juara Eropah (UCL) memerlukan 400 hingga 500 hari setahun jika mahu dipanjangkan kerana pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah beraksi dalam terlalu banyak perlawanan.

Persatuan Kelab Eropah (ECA) dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dikatakan sedang berbincang untuk menambah empat lagi perlawanan dalam jadual UCL, di mana ia akan menyaksikan finalis kejohanan itu akan beraksi dalam 17 perlawanan.

Bagaimanapun, dengan kunjungan ke laman Sheffield United awal pagi esok merupakan perlawanan kelapan City sepanjang tiga setengah minggu ini, Guardiola bersetuju bahawa jadual perlawanan di England sudah terlalu memenatkan.

"Saya fikir jalan penyelesaiannya adalah anda memerlukan 400 hari dalam setahun.

"400 atau 500, mungkin lebih.

"Selepas itu kita boleh menguruskan kejohanan lain.

"Mungkin UEFA atau FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) boleh bercakap mengenainya.

"Kita mempunyai hari yang kurang daripada itu dalam setahun, itulah masalahnya," katanya.

Penambahan perlawanan dalam UCL dijangka akan mendatangkan kesan negatif kepada Piala Liga Inggeris (EFL).

Selepas menyatakan bahawa Piala EFL akan menjadi menarik sekiranya pasukan daripada EPL menarik diri kerana mahu mengurangkan beban perlawanan, bekas jurulatih Bayern Munich dan Barcelona itu menawarkan penyelesaian yang lebih kejam.

"Mansuhkan kejohanan itu. Mansuhkan terus, jadi akan kurang perlawanan.

"Kurang perlawanan, kurang kejohanan, kurang pasukan, lebih kualiti, kurang kuantiti.

"Semua orang akan menikmatinya.

"Semua orang boleh ke panggung wayang, restoran, melihat bunga api.

"Itulah yang dapat mereka lakukan," tambahnya.

Apa yang cuba diketengahkan oleh Guardiola itu sebenarnya adalah untuk mengurangkan beban fizikal buat pemain.

Dia berkata: "Perlawanan di sana (Jerman dan Sepanyol) kurang sedikit, banyak bezanya dengan di sini.

"Di Bundesliga, hanya ada 18 pasukan dan bukannya 20, satu piala dan bukannya dua.

"Mereka ada waktu rehat, di Sepanyol juga ada waktu rehat.

"Hanya satu perlawanan untuk kejohanan piala dan bukannya dua (timbal balik).

"Jadi, perbezaannya besar.

"Ia hanya untuk melindungi pemain.

"Bagi pemain, mereka lebih menghargainya, begitu juga penonton.

"Ramai kata mereka tidak boleh hidup tanpa bola sepak, mereka boleh hidup tanpa bola sepak buat seketika.

"Sejujurnya, ia terlalu banyak (perlawanan)," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa