Isu tunggakan gaji skuad Sarawak semakin menghimpit pasukan itu yang terpaksa berkunjung ke Kuala Terengganu malam tadi dengan hanya 13 pemain dan lima jurulatih.

Pengendali pasukan, Ian Gillan, menyatakan rasa kecewa selepas beberapa pemain memilih untuk tidak meneruskan perjuangan bersama rakan sepasukan dengan campur tangan pihak luar dianggap punca kemelut pasukan Sarawak.

Gillan mendedahkan pemain-pemain skuad Bujang Senang dihimpit tunggakan tiga bulan gaji.
Malah, ada pemain yang sudah tidak dibayar gaji sejak empat bulan lalu.

"Selain ketiadaan pemain, kunjungan kami ke Kuala Terengganu juga dibelenggu kekangan bajet sehingga memaksa hanya dua pemain simpanan disenaraikan," kata jurulatih kelahiran Scotland itu.

Gillan -- bekas penolong jurulatih Kedah -- turut menyentuh senario itu yang disifatkannya sebagai satu gejala yang tidak seharusnya berlaku andai Sarawak benar-benar komited membangunkan pasukan bola sepak negeri itu.

Sambil mempertahankan diri, Gillan menjelaskan ada pihak tidak gembira dengan pembaharuan dilakukan barisan kejurulatihan sejak kedatangannya penghujung tahun lalu.

"Sarawak berada di kedudukan kedua Liga Perdana pada bulan April. Kemudian ada campur tangan yang cuba menghancurkan keharmonian pasukan ini.

"Kontrak saya masih berbaki sehingga November 2019 dan selagi persatuan belum berkata sebaliknya, saya masih pengendali Sarawak," ujarnya selepas menyaksikan mereka tumpas 1-0 di tangan Terengganu FC (TFC) II.

Beraksi tanpa tonggak seperti pemain import, Mateo Roskam, Kim Chi-gon dan Milos Raickovic, kelibat pemain tempatan, antaranya tonggak pertahanan, Hairol Mokhtar, Shahrol Saperi, serta K. Thanaraj, juga tidak turut serta dalam aksi malam tadi.

Sarawak yang sudah tersingkir akan menamatkan saingan Piala Cabaran dengan melayan kunjungan UKM FC di Kuching, Isnin ini.