Zinedine Zidane mengakui kemenangan 1-0 ke atas Sevilla awal pagi tadi membuatkannya lebih puas berbanding keputusan lain sejak mengendalikan Real Madrid buat kali kedua.

Pengendali Los Blancos, Zidane, menjadi sasaran susulan kekalahan 3-0 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropa, minggu lalu tetapi tandukan dalam babak kedua oleh Karim Benzema membolehkan Real kembali ke landasan kemenangan.

Sevilla memenangi empat pertemuan sebelum ini di antara dua pasukan itu di Andalusia tetapi awal pagi tadi, mereka gagal mencipta sebarang percubaan tepat tatkala Real diperkuatkan kembali dengan kehadiran kapten, Sergio Ramos.

Ditanya Movistar sama ada aksi awal pagi tadi merupakan persembahan terbaik anak buahnya sejak kembali bersama Los Blancos, Zidane menjawab: "Ya, ia perlawanan yang paling membuatkan saya rasa puas sejak kembali.

"Mereka membantu satu sama lain di atas padang. Kami melalui detik sukar tetapi mereka bersatu. Aksi di padang ini tidak mudah."

Trio bintang Real, Eden Hazard, James Rodriguez dan Gareth Bale masing-masing gagal menyinar dalam aksi tersebut tetapi Zidane pantas menarik perhatian kepada aspek lain.

"Kami tahu kami mampu mencipta bahaya tetapi kerjasama sepasukan menjadi kunci kemenangan," tambahnya.

"Ketiga-tiga pemain itu banyak bertahan. Dalam aksi sukar seperti ini, segalanya perlu dilakukan."