Tonggak muda Harimau Malaya, Safawi Rasid, enggan menjadikan perubahan posisinya sebagai punca kegagalannya menyumbang jaringan dalam perlawanan menentang Kemboja di Phonm Penh, semalam.

Pemain Paling Bernilai saingan Liga Malaysia (Liga M) itu turun beraksi dalam Piala AFF buat kali pertama di bawah pimpinan Tan Cheng Hoe.

Lebih kerap memburu jaringan dari sayap kanan ketika bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi diberikan tugasan untuk mencari jalan menembusi pertahanan Kemboja di bahagian sayap kiri.

Mengakui sudah lama tidak beraksi di posisi itu, Safawi berharap dapat meningkatkan lagi mutu permainannya dalam perlawanan berdepan Laos, Ahad ini.

"Saya sudah lama tidak bermain di posisi ini tetapi ia bukan satu masalah kerana saya sering melakukan pertukaran posisi dengan Sumareh dalam perlawanan ini," katanya.

"Berdepan Laos, saya akan cuba mendapatkan gol buat Malaysia. Jika gagal melakukannya, saya mahu memastikan Malaysia menang dalam perlawanan tersebut."

Mengulas perlawanan pertama Kumpulan A semalam, pengendali UKM, Sulaiman Hussein, mahu skuad negara mempertingkatkan lagi mutu permainan jika mahu mencari jalan mengatasi saingan Vietnam dan Myanmar.

"Sistem permainan Malaysia menghadirkan kebimbangan buat peminat bola sepak negara. Walaupun Kemboja tewas, mereka mampu mengawal bola dengan keyakinan dan Malaysia gagal melakukan perkara yang sama. Perkara ini mungkin mendatangkan masalah yang besar berdepan Vietnam dan Myanmar."