Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan tujuh pemain skuad B-18 kebangsaan bakal mendapat peluang berguru dalam Liga Jepun.

Sebelum ini, hanya Luqman Hakim Shamsuddin yang difahamkan bakal menjalani sesi percubaan bersama kelab Divisyen 1 Jepun (J1), Cerezo Osaka.

FAM, menerusi setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, mengesahkan bahawa badan induk itu sudah menyenarai pendek enam lagi nama untuk diberi peluang sama.

Selain Cerezo Osaka, satu lagi kelab berstatus J1, FC Tokyo, bakal memainkan peranan sama tatkala penempatan barisan pemain akan dijalankan secara berperingkat selepas mengambil kira beberapa faktor.

Antara pemain yang menyinar bersama skuad kendalian Brad Maloney itu ketika ini ialah pemain tengah, Mukhairi Ajmal, dan penggempur, Firdaus Kaironisam.

"Dalam hubungan di antara FAM dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), sebahagian daripada kerjasama adalah tempat pemain muda kami dalam kelab mereka," kata Stuart.

"Sebelum ini telah dijelaskan bahawa beberapa pemain sedang diusahakan untuk ke sana, tujuh pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan cuba dihantar ke Jepun menerusi pasukan FC Tokyo dan Cerezo Osaka.

"Tarikh masih belum ditentukan memandangkan masih ada saingan kelayakan dan kejohanan yang perlu diselesaikan. Jadi, kami masih perlu pastikan ia dilengkapkan dalam tempoh yang terbaik."