MAN UNITED 0 PSG 2

Kemenangan 2-0 Paris Saint-Germain (PSG) tidak bermakna pintu untuk Manchester United ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) sudah tertutup, kata Ole Gunnar Solskjaer.


Jaringan Presnel Kimpembe dan Kylian Mbappe yang dijana hantaran lintang Angel Di Maria dalam tempoh tujuh setengah minit memberikan PSG bekalan selesa dalam pertemuan pertama pusingan 16 UCL itu.

Tugas United untuk bangkit menjadi lebih perit apabila Paul Pogba dilayangkan kad kuning kedua dalam aksi di Old Trafford, awal pagi tadi.

Biarpun akur bahawa United berdepan tugas berat di Paris bulan depan, pengurus sementara, Solskjaer -- pasukan bimbingannya ditundukkan buat julung kalinya sejak dia mengambil alih tugas untuk menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu -- enggan berputus asa.

"Cabaran menggunung menanti kami," kata pengurus United itu kepada BT Sport.

"Kami tidak boleh menyerah kalah dan mengatakan ia sudah pun berakhir. Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan belajar daripada kesilapan hari ini tetapi ia mencerminkan tahap sebenar kami dengan pasukan teratas.

"Segala-galanya tampak mengikut perancangan. Tidak banyak yang boleh diperkatakan dalam babak pertama tetapi jaringan pertama itu tidak sepatutnya dilepaskan. Kemudian mereka mendapat momentum dan menguasai permainan.

"Sudah agak lama kami tidak beraksi di pentas sebesar ini dan kami perlu belajar daripada pengalaman ini, ia bukan usaha dalam semusim sahaja."

Pogba tidak mengekalkan disiplinnya dan terjahan lewatnya ke atas Dani Alves mendorong kad kuning kedua dilayangkan kepadanya selepas pemain Perancis itu terlebih dahulu menempah amaran lebih awal akibat kekasaran terhadap Marco Verratti.

Pemain tengah itu melakar lapan gol dalam lapan aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ia akan menjadi tamparan besar buat United untuk pertemuan kedua pada 6 Mac depan, namun Solskjaer tetap mempertahankan Pogba.

"Dia cuba melakukan terjahan dan Alves bijak menghulurkan kakinya," tambah Solskjaer. "Saya tahu Paul mahu mencuri bola itu dan dia tidak bernasib baik."