PONTIVY 0 PSG 4

Thomas Tuchel tidak terkejut ketika Paris Saint-Germain (PSG) bergelut untuk memecah kebuntuan ketika berdepan Pontivy GSI dalam aksi Coupe de France, awal pagi tadi.


PSG berjaya merakamkan kemenangan 4-0 ke atas pasukan divisyen lima, Pontivy, tetapi jaringan sendiri Sylvain Jule memisahkan kedua-dua pasukan hingga minit ke-70, sebelum Neymar menemui jalan untuk mengatasi penjaga gol, Clement Daoudou.

Kylian Mbappe menambah lagi jaringan menerusi sepakan penalti sebelum Julian Draxler melengkapkan kemenangan pendahulu Ligue 1 itu.

Tuchel mengakui persembahan yang dipamerkan oleh skuad bimbingannya tidak mencerminkan keputusan perlawanan, namun tetap berpuas hati dengan kemenangan PSG.

"Saya sudah menjangkakan perlawanan seperti ini," kata Tuchel.

"Jika anda bermain dengan serius, mustahil buat pasukan divisyen lima mampu mengatasi kami.

"Kami telah menjalani dua latihan intensif dan saya yakin kami mampu memenangi perlawanan ini.

"Ia merupakan satu perlawanan yang sukar kerana lawan bermain dengan baik dan kami kerap hilang kawalan bola.

"Hantaran terakhir kami juga kurang tepat untuk menjaringkan dua atau tiga gol dalam separuh masa pertama. Kami mengakhiri perlawanan ini tanpa sebarang kecederaan dan saya sangat berpuas hati.

"PSG mampu bermain dengan lebih baik tetapi ini adalah permulaan yang positif buat kami," katanya lagi.

Tumpuan Tuchel dan PSG kini beralih kepada aksi suku akhir Coupe de la Ligue berdepan Guingamp sebelum kembali ke saingan liga berdepan Amiens.