Thomas Tuchel berkata beliau akan "tidur lena" apabila Paris Saint-Germain (PSG) menandatangani pemain baru ketika jendela perpindahan bulan ini.

PSG telah dikaitkan dengan bintang Napoli, Allan, manakala Adrien Rabiot dijangka meninggalkan juara Ligue 1 itu.

Ditanya mengenai perancangan PSG selepas merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Amiens, ketua jurulatih, Tuchel, memberitahu "Antero Henrique (pengarah sukan) dan presiden berkata saya perlu mendapatkan pemain baru dan saya mempercayai mereka.

"Dalam masa sama, saya bimbang jika tidak berjaya mendapatkan mana-mana pemain. Saya menyedari jendela perpindahan musim sejuk ini sangat merumitkan.

"Jika terdapat pemain baru menyertai pasukan, ia akan membantu saya untuk tidur lena."

PSG bangkit daripada penyingkiran saingan Coupe de la Ligue dengan menewaskan Amiens tanpa menurunkan bintang, Neymar.

Neymar –- yang kini dikaitkan bakal kembali bersama juara LaLiga, Barcelona –- direhatkan tetapi PSG kekal cemerlang dengan kehadiran Edinson Cavani dan Kylian Mbappe selepas tewas kepada Guingamp.

"Kemenangan ini diperlukan selepas tewas kepada Guingamp. Kami telah memperbaiki kesilapan dan berjaya meraih keputusan yang diinginkan.

"PSG bermula baik pada 30 minit pertama. Kehadiran Julian Draxler dan Dani Alves banyak membantu pasukan," katanya lagi.