RED STAR BELGRADE 1 PSG 4

Thomas Tuchel teruja dengan sikap dan kualiti Paris Saint-Germain (PSG) selepas mereka mengalahkan Red Star Belgrade 4-1 untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).


Edinson Cavani dan Neymar memastikan pendahulu Ligue 1 berkenaan di landasan kemenangan di Serbia awal pagi tadi dan sungguhpun Marko Gobeljic mengurangkan defisit gol pada awal babak kedua, Marquinhos dan Kylian Mbappe mengesahkan tiga mata buat pelawat.

Keputusan itu memastikan kemaraan PSG ke pusingan 16 sebagai juara Kumpulan C di depan Liverpool yang meraih tangga kedua selepas menundukkan Napoli 1-0 di Anfield.

PSG memulakan kempen Eropah mereka musim ini dengan kekalahan 2-3 di Merseyside, justeru Tuchel gembira dengan cara pasukannya berkembang sejak itu.

"Kami menurunkan pemain yang sama seperti ketika menentang Liverpool (dalam perlawanan kelima). Ia bukan mengenai sistem (permainan kami) tetapi ia mengenai sikap. Sangat sukar untuk menang di sini dan pemain saya beraksi dengan hebat," katanya kepada RMC Sport.

"Saya sangat menyukai reaksi kami selepas jaringan tersebut. Kami mengambil banyak risiko dan kadang-kadang kami terlupa untuk menutup ruang.

"Kini kami sudah berada dalam pusingan 16. Tahniah kepada semua pemain dan kakitangan. Ini adalah kumpulan sukar yang dihuni pasukan yang mempunyai kualiti yang sangat tinggi, khususnya selepas perlawanan pertama kami di Liverpool," tambahnya.

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, berharap pasukannya dapat meneruskan keyakinan mereka itu dalam pusingan seterusnya dengan majlis undian pusingan 16 akan berlangsung Isnin depan.

"Kami sangat gembira dapat mencapai matlamat kami: menjuarai kumpulan dan mengelak daripada bertembung kelab gergasi dalam pusingan 16," katanya.

"Bukan mudah untuk bermain di sini, saya sangat bangga dengan pemain, jurulatih, serta kakitangan kami.

"Kami menunjukkan bahawa kami sebuah pasukan yang hebat, kami penuh dengan keyakinan."