SAINT-ETIENNE 0 PSG 4

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, menawarkan sokongan kepada Neymar untuk menyempurnakan sepakan penalti seterusnya dengan mendedahkan penyerang berkenaan "sedih" mengenai kegagalannya itu ke atas Saint-Etienne.


Sepakan penalti Neymar dalam separuh masa kedua mengenai tiang gol ketika PSG meraikan kemenangan 4-0 dalam aksi Ligue 1 itu, awal pagi tadi.

Ia hadir beberapa hari selepas pemain Brazil berkenaan menyerahkan satu sepakan penalti kepada Edinson Cavani ketika bertemu Galatasaray dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Begitupun, Tuchel menaruh kepercayaan terhadap Neymar yang turut mencipta dua bantuan gol dalam kemenangan selesa itu.

"Saya sentiasa sedikit gugup sebagai pengurus, itu biasa," katanya dalam sidang akhbar.

"Apabila dia melepaskan rembatan, biasanya saya cukup yakin dia akan menjaringkan gol. Dia berasa sedih kerana dia masih mahu menjaringkan gol, itu satu peluang yang baik buatnya.

"Tetapi dia akan mengambil sepakan penalti seterusnya dan saya pasti dia akan menyumbat gol lagi."

Sesudah ketinggalan menerusi gol pembukaan Leandro Paredes, Saint-Etienne terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan kad merah ke atas Jean-Eudes Aholou pada minit ke-25.

Kylian Mbappe, yang menerima dua umpanan daripada Neymar, meledak dua gol manakala satu daripada Mauro Icardi untuk PSG merakam kemenangan Ligue 1 kelima berturut-turut.

"Kami bertahan dengan baik dengan keamatan yang tinggi dan bersama-sama," kata Tuchel.

"Ini adalah tempoh yang baik buat kami, kami memang layak menang. Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, kami merampas banyak bola di kawasan lawan.

"Kami tidak pernah berhenti daripada bertahan, malah selepas insiden kad merah itu jadi saya gembira. Tahniah buat pasukan."