Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, telah memperbaharui kontrak sehingga Jun 2021 walaupun melalui penamat musim yang penuh liku bersama juara Ligue 1 itu.

Tuchel tiba di Parc Des Princes tahun lalu dan mengemudi PSG mempertahankan gelaran liga tetapi keputusannya tidak begitu memuaskan dalam saingan peringkat piala.

PSG disingkirkan daripada Liga Juara-Juara Eropah oleh Manchester United dalam pusingan 16, tewas di tangan Guingamp di peringkat awal Piala Liga serta ditundukkan Rennes menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final Piala Perancis.

Selepas tewas di tangan Rennes, PSG hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan bagi semua kejohanan, termasuk kekalahan 3-1 di Reims dalam perlawanan terakhir liga semalam.

Bagaimanapun, Tuchel menegaskan selepas perlawanan bahawa dia yakin akan kekal di Paris dan berita lanjutan kontrak dengan tempoh panjang disahkan lewat semalam.

Wakil kelab berkata: "Tuchel telah mengawal pemain, staf serta kelab menerusi pendekatan semulajadi yang dimiliki serta visi dalam bola sepak moden."

Tuchel yang menjangkakan staf kejurulatihannya juga bakal diberikan lanjutan kontrak, menambah: "Saya gembira dengan lanjutan kontrak serta komitmen bersama PSG, menandatangani perjanjian baru.

"Saya mahu berterima kasih kepada pengerusi serta seluruh kelab di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dan staf. Ia akan meningkatkan cita-cita saya untuk membawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi.

"Saya juga tersentuh dengan sokongan peminat dan pasti kelab ini bakal mengecapi kejayaan."

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, turut menambah: "Hari ini, seluruh keluarga pasukan gembira melihat Tuchel memperbaharui kontrak.

"Selama setahun, dia telah menghadirkan tenaga hebat terhadap kehidupan dalam kelab, bukan hanya untuk pemain tetapi seluruh PSG.

"Penyokong kami sukakan pengurus yang sentiasa mahu berkongsi emosi dan analisis. Tuchel adalah peminat besar bola sepak dan seorang pengurus yang mendengar pendapat pihak lain.

"Dia menjadi arif dalam perlawanan serta skil pengurusan dan kami gembira dapat bergantung kepada kualiti yang dimilikinya bagi tempoh yang panjang."