Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, berasakan kekalahan skuad kendaliannya kepada Liverpool pada minit terakhir sebagai sesuatu yang "tidak logik".

Aksi pembukaan Kumpulan C PSG berakhir dengan kekalahan, dengan juara Perancis itu tewas 3-2 kepada finalis musim lalu, Liverpool, di Anfield.

Anak buah Tuchel bangkit daripada ketinggalan 2-0 hasil jaringan Thomas Meunier dan Kylian Mbappe –- tujuh minit sebelum tamat perlawanan.

Bagaimanapun, PSG terpaksa berputih mata apabila Roberto Firmino menyumbat jaringan kemenangan, sekali gus mengecewakan Tuchel.

"Mungkin jaringan tidak menceritakan situasi sebenar perlawanan ini. Pada penghujung permainan, kami mempunyai peluang menerusi Julian Draxler untuk memastikan kemenangan kami tetapi Liverpool yang berjaya melakukannya.

"Kami telah menampilkan aksi terbaik dalam babak pertama. Bagi saya, keputusan perlawanan ini tidak logik atau tepat.

"Kami bolos dua jaringan dalam separuh masa pertama tetapi ia tidak melunturkan semangat pasukan.

"PSG bermain dengan keberanian dan kekuatan mental. Mungkin dalam babak kedua, kami banyak kehilangan bola tetapi ini adalah Anfield dan Jurgen Klopp telah bekerjasama dengan pasukan selama tiga tahun.

"Kami telah berusaha untuk menyamakan kedudukan tetapi pada akhirnya kami tewas."