Thomas Tuchel menjangkakan untuk kekal mengurus Paris Saint-Germain (PSG) musim depan tetapi sedar bahawa situasi mampu berubah setiap hari.

PSG memenangi kejuaraan Ligue 1 tetapi tersingkir awal daripada Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Liga Perancis, sebelum tunduk di tangan Rennes di pentas final Piala Perancis menerusi sepakan penalti.

Kekalahan di tangan Rennes itu berlarutan sehingga ke minggu terakhir musim ini tatkala PSG hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan terakhir bagi semua kejohanan, termasuk kalah 3-1 di Reims, semalam.

PSG jelas beraksi di luar kemampuan sebenar di penghujung musim tetapi Tuchel tetap positif mengenai masa depannya.

"Saya fikir saya boleh katakan ya (akan kekal)," kata Tuchel.

"Namun, dalam bola sepak semua perkara boleh berubah setiap hari. Anda sering bertanya tetapi saya di sini. Jika ia berubah, ia bukan daripada saya."

Tuchel kerap mengeluh mengenai saiz skuad PSG dan pembelian pemain baru perlu dilakukan sebelum bermula musim depan.

Namun, pengendali dari Jerman itu percaya perubahan disiplin juga diperlukan untuk pasukan bersatu selepas wujud laporan pertelingkahan antara sesetengah pemain.

Pemain termahal dunia, Neymar, dilaporkan bertelingkah dengan beberapa rakan sepasukan walaupun PSG berkeras menafikannya.

"Kami perlu fokus, bersatu antara kelab, staf dan pasukan," tambah Tuchel.

"Kami perlu tegas dan bersemangat, bekerja keras sejak awal musim. Kami juga perlu konsisten dalam setiap keputusan bersama."