Tuchel: Icardi boleh ganding dengan Cavani di PSG

Oleh Staff Writer 14 September 2019 183
Tuchel: Icardi boleh ganding dengan Cavani di PSG
Mauro Icardi merupakan pemain yang sama dengan Edinson Cavani tetapi mampu membentuk gandingan bersama penyerang Uruguay itu, kata pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel.

Icardi menyertai PSG daripada Inter Milan menerusi pinjaman jangka panjang dengan pilihan untuk meneruskan perjanjian secara tetap dan sedang bersedia untuk melakukan penampilan Ligue 1 pertamanya ketika menentang Strasbourg lewat malam ini.

Ketibaannya meningkatkan persaingan di jentera depan yang turut dibarisi nama besar lain, iaitu Kylian Mbappe, Angel Di Maria dan Neymar, yang impiannya untuk kembali ke Barcelona musnah selepas tamatnya jendela perpindahan lalu.

Tuchel kini memilki pilihan pemain yang seimbang walaupun penjaring terbanyak kelab itu, Cavani, dan pemenang Piala Dunia, Mbappe, akan terlepas aksi menentang Strasbourg disebabkan kecederaan.

"Dia perlu kembali mendapatkan rentak, dia pemain nombor 9 seperti Edi," kata Tuchel kepada wartawan mengenai Icardi, yang dilucutkan daripada tugas kapten di Inter musim lalu.

"Dia sudah berada di sini dan amat gembira untuk berada di sini.

"Saya fikir dia sudah bersedia dan aksi esok (malam ini) mungkin menjadi perlawanan pertama yang saya boleh menurunkannya.

"Saya tidak pasti sama ada dia bersedia untuk beraksi selama 90 atau 60 minit, namun persaingan itu membantu kami, pasukan saya.

"Saya tidak melihat mereka sebagai pesaing, kami boleh menurunkan Mauro dan Edi dalam satu perlawanan.

"Saya menjangkakan pasukan saya mempunyai pemikiran yang baik untuk bekerjasama.

"Jika kami mempunyai ramai penyerang, mereka perlu bekerjasama walaupun setiap orang mahu beraksi," katanya.

Mbappe dan Cavani dijangka tidak cukup cergas untuk menyertai kunjungan ke Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu depan dengan Neymar turut terlepas perlawanan itu gara-gara penggantungan perlawanan.

Ditanya mengenai pilihannya di bahagian serangan, Tuchel berkata: "Kami akan menentukannya pada masa yang sesuai.

"Kami kehilangan Kylian dan Edi, kami juga tidak dapat menurunkan Neymar di Madrid.

"Saya mempunyai banyak pilihan dalam fikiran saya, namun belum sampai masanya lagi.

"Tetapi kami tidak akan dapat gol yang banyak tanpa pilihan yang tepat," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen