Tuchel bimbang Neymar kembali cedera

Oleh Staff Writer 24 Januari 2019 301
Tuchel bimbang Neymar kembali cedera
PSG 2 STRASBOURG 0

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, menzahirkan rasa bimbang terhadap bintang pasukannya, Neymar, yang dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan kaki ketika menewaskan Strasbourg 2-0 dalam pusingan 32 Coupe de France, awal pagi tadi.


Neymar tidak dapat meneruskan aksi dalam separuh masa kedua selepas menerima terjahan keras pemain tengah lawan, Moataz Zemzemi, yang mengakibatkan kakinya terkehel.

Dia cuba meneruskan permainan selepas mendapatkan rawatan, namun dilihat terhincut-hincut untuk keluar dari padang tidak lama selepas itu.

Tuchel kemudian mengesahkan bintang Brazil itu dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan, namun PSG masih menantikan laporan mengenai kecederaannya.

Sebagai rekod, Neymar pernah mengalami kecederaan patah tulang metatarsal dan terkehel buku lali yang memaksanya berehat panjang pada Februari tahun lalu.

"Tidak, saya masih belum bercakap dengan Neymar kerana dia kini berada di hospital.

"Saya risaukannya. Kecederaan seperti itu sentiasa menggusarkan.

"Ia kecederaan sama yang menimpanya sebelum ini," kata Tuchel.

Aksi di Parc des Princes awal pagi tadi menyaksikan Edinson Cavani menjaringkan gol pendahuluan tuan rumah seawal minit keempat sebelum Angel Di Maria menggandakannya pada minit ke-80.

PSG akan bertemu Manchester United dalam pehitungan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, kurang tiga minggu dari sekarang.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen