Thomas Tuchel tidak memberikan sebarang perkembangan mengenai Neymar atau Edinson Cavani menjelang pertembungan Paris Saint-Germain (PSG) dengan Saint-Etienne tetapi mengesahkan Thomas Meunier dan Eric Maxim Choupo-Moting bakal terlepas perlawanan ekoran kecederaan.

Pertahanan kanan, Meunier, terlepas kemenangan 2-0 PSG ke atas Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) kerana mengalami kecederaan ketika bertemu Bordeaux tiga hari sebelumnya dan Tuchel berkata pemain kebangsaan Cameroon, Choupo-Moting, mengalami masalah kesihatan.

Ketika Cavani direhatkan kerana kecederaan pinggul sementara Neymar masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan metatarsal, Tuchel lega apabila Marco Verratti dan Presnel Kimpembe berjaya mengelak daripada mengalami kecederaan.

"Meunier tidak akan beraksi esok, Choupo-Moting turut diketepikan kerana demam," kata Tuchel.

"Pemain-pemain lain bakal tampil beraksi tetapi kami perlu lebih mengutamakan keadaan Verratti dan Kimpembe.

"Tiada berita buat Cavani dan Neymar."

Tuchel kekal optimis walaupun bimbang dengan tahap kecergasan pasukan. Beliau memberikan pujian kepada Kimpembe dan pertahanan Brazil, Marquinhos, yang beraksi sebagai pemain tengah bertahan di Old Trafford.

Thilo Kehrer dan Juan Bernat turut menampilkan aksi cemerlang, sekali gus membantu PSG melakar tiga kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

"Kehrer dan Bernat melakukan tugas dengan cemerlang. Mereka berhak beraksi.

"Kimpembe melakukan segala-galanya untuk menjadi salah seorang pertahanan terbaik Eropah.

"Marquinhos cemerlang mengawal bahagian tengah, dia merupakan salah seorang pemain yang sentiasa mahu meningkatkan lagi mutu permainan.

"Saya sangat gembira kerana kami dapat bermain sebagai sebuah pasukan, tidak kira dalam saingan UCL atau Ligue 1."