Masa depan Neymar dan Kylian Mbappe di Paris Saint-Germain (PSG) terus dalam kesamaran sambil Thomas Tuchel berikrar untuk "mencari jalan penyelesaian" sekiranya kedua-kedua pemain itu berhijrah.

Neymar dikaitkan dengan perpindahan ke LaLiga sejak berkelana ke ibu kota Perancis itu daripada Barcelona, dua tahun lalu, sambil Mbappe memberi bayangan bahawa dia berminat untuk mencuba 'projek baru' sejurus musim Ligue 1 berakhir.

Pengurus PSG, Tuchel, berasakan situasi bola sepak moden menyebabkannya berdepan kesukaran untuk memberi jaminan bahawa pasangan itu akan kekal bersama juara Ligue 1 berkenaan, namun dia yakin kelab itu akan mencari jalan untuk terus maju tanpa kedua-duanya.

"Ini adalah bola sepak," kata Tuchel dalam sidang media ketika ditanya mengenai spekulasi perpindahan terhadap dua aset berharganya itu.

"Banyak kelab mahu membeli ramai pemain. Bagaimanapun, jika anda bertanya kepada saya selaku pengurus, saya mahu mereka terus di sini musim depan tetapi jika sebaliknya, maka kami akan mencari penyelesaian."

Tuchel turut meredakan ulasan Mbappe yang menganggap spekulasi itu adalah normal.

"Dia tidak perlu mengulas untuk menyatakannya," kata pengurus berbangsa Jerman tersebut. "Dia sememangnya seorang pemain yang istimewa dan hanya mahu menjaringkan gol, menjaringkan gol dan terus menjaringkan gol serta memiliki segala trofi sebanyak mungkin.

"Dia seorang pemain yang istimewa, kita perlu terima hakikat itu. Saya tidak berasa jengkel dengan kenyataannya.

"Fikiran saya tidak akan berserabut hanya kerana ulasannya itu. Saya berhubung dengan Kylian setiap hari, dia tahu apa yang saya mahukan, hubungan kami tiada masalah."

Mbappe berpeluang mencabar pemain Barcelona, Lionel Messi, untuk mengungguli Anugerah Kasut Emas Eropah sekiranya meledak empat gol ketika menentang Reims, awal pagi esok, namun Tuchel mengakui itu adalah sasaran yang tinggi.

"Sukar untuk menjaringkan empat gol dalam sebuah perlawanan. Kalau kami mengatakan ia mudah, maka itu bermaksud kami tidak menghormati lawan. Namun, ia satu matlamat buat Kylian," katanya.

"Untuk memburu empat gol saya anggap bukan mudah dan saya perlu berbincang dengan pasukan tentang soal jaringan itu, dia mempunyai sasaran yang tinggi untuk dipenuhi dan dia sangat yakin."