Pembangunan akar umbi bola sepak Kelantan menjadi semakin hebat apabila Akademi Tan Sri Annuar Musa Hamra Red One (TSAM Army) dilancarkan secara rasmi dan memberi peluang kepada 600 pelajar untuk menyertainya.

Lebih menarik, akademi ini akan menggunakan kurikulum bola sepak Jepun yang disesuaikan dengan DNA bola sepak tempatan bagi melahirkan lebih ramai pemain muda yang berkualiti.

Presiden TSAM Army, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Akademi Bola Sepak Honda dari Jepun bagi merealisasikan impian tersebut.

“Untuk permulaan, kami akan berusaha mendapatkan dua jurulatih antarabangsa dari Jepun yang fasih berbahasa Inggeris bagi melatih pemain muda kerana akademi menggunakan kurikulum latihan dari negara tersebut.

“Kami juga akan melihat model pembangunan bola sepak di Croatia bagi disesuaikan dengan akademi ini,” katanya.

Mengulas lanjut perkembangan TSAM Army, Annuar menjelaskan pihaknya bercadang membina kampus bola sepak sendiri yang dilengkapi dengan fasiliti sukan memandangkan projek ini menyasarkan pengambilan atlet remaja dan senior dalam fasa kedua nanti.

“Kampus TSAM Army akan diwujudkan tidak lama lagi memandangkan pemain senior yang berusia 17 hingga 19 tahun tidak boleh lagi mengganggu padang sekolah untuk sesi latihan.

“Insya-Allah, saya sedang meninjau tanah kawasan sekitar sekolah (SMK Kampung Chengal) untuk dibeli. Namun, kalau ada NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan), mungkin kami boleh pakai bangunan yang sedia ada, cuma perlu bina padang sahaja,” katanya.

Pelancaran TSAM Army telah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad.