Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) mula membuahkan hasil dalam melahirkan bakat untuk dihantar ke luar negara apabila tiga pemain bawah 13 tahun diserap masuk ke Paris Saint-Germain (PSG) bagi menghadapi Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali, bermula esok hingga Ahad ini.

Tiga pemain yang dijemput itu ialah Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish.

Hazriq, 13, yang dinobatkan selaku penjaga gol terbaik di Piala Joinville di Perancis April lalu, berjanji akan memberikan segala-galanya selepas mendapat peluang keemasan untuk bersama kelab Perancis itu.

"Pada bulan lalu saya pergi ke Perancis. Saya mendapat anugerah penjaga gol terbaik dalam Piala Joinville.

"Saya ada sedikit rasa gementar tetapi ia tidak mengalang untuk saya berjuang bersama pasukan PSG. Saya akan memberikan 100 komitmen kepada pasukan itu," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik berkata pihaknya sentiasa menyokong penuh usaha AMD dalam melahirkan pemain berkualiti, sekali gus mencipta nama di persada dunia.

"Rakyat Malaysia yang berpotensi dapat diperhatikan dan dikesan pihak antarabangsa. Cuma, menjadi tanggungjawab setiap pihak, bukan sahaja kerajaan tetapi kepada semua peringkat di Malaysia untuk bersama-sama membangunkan potensi ini dan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga boleh," katanya.

PSG pada setiap tahun memberi peluang buat pemain untuk mewakili mereka dalam mana-mana kejohanan sebelum ditawarkan kontrak apabila mencecah usia 18 tahun nanti.

Ketiga-tiga mereka akan mendapat peluang bersaing dengan kelab-kelab tersohor lain di kejohanan itu seperti AS Roma, Lazio, Juventus, Inter Milan dan Atletico Madrid.