Kevin Trapp tidak menyesal apabila kembali ke Eintracht Frankfurt secara tetap setelah meninggalkan gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Penjaga gol itu meninggalkan Eintracht pada 2015 untuk menyertai PSG, di mana dia memenangi Ligue 1 dua kali dan sebahagian daripada pasukan yang merangkul gelaran 'treble' bagi musim 2017-18.

Bagaimanapun, dia gagal untuk kekal selaku penjaga gol utama PSG dan kembali ke Frankfurt musim lalu secara pinjaman.

Trapp telah membuat 43 penampilan dalam semua kejohanan bersama The Eagles dan melangkah ke separuh akhir Liga Europa (UEL), tewas kepada Chelsea menerusi penentuan penalti, dan menamatkan saingan Bundesliga di tangga ketujuh.

Persembahannya berjaya meyakinkan Eintracht untuk menawarkan kontrak selama lima tahun dan pemain berusia 29 tahun itu berasakan dia telah mengambil keputusan yang tepat di sebalik kelab telah kehilangan khidmat bintang seperti Luka Jovic dan Sebastien Haller.

"Saya tidak menyesal meninggalkan PSG. Saya menikmati tempoh beraksi di sana tetapi saya kini kembali ke Frankfurt," kata Trapp.

"Kelab ini sedang berkembang secara positif. Saya masih lagi memiliki perancangan yang besar bersama pasukan ini."