Layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi sasaran utama di sebalik pembentukan skuad B-21 tahun negara yang memulakan latihan semalam walaupun tanpa kelibat ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, kerana masih menjalani kursus kejurulatihan di Madrid.

Kim Swee membayangkan Sukan Asia 2018 menjadi platform sulung buat skuad B-21 tahun sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23, tahun depan.

Justeru, penangguhan aksi Liga Malaysia memberikan laluan kepada skuad kebangsaan serta membuka ruang kepada penolong jurulatih, Khan Hung Meng, memulakan persiapan awal.

Skuad B-21 tahun ini bakal melalui satu aksi persahabatan berdepan PJ Rangers di padang Wisma FAM, pada 27 Mac ini.

"Kami melihat kepada sasaran jangka masa panjang, iaitu beraksi di Tokyo 2020 dan mahu memastikan mereka serasi dengan taktikal yang ditetapkan," kata Hung Meng.

Selain itu, objektif utama yang mahu dilakukan Hung Meng ialah mahu memastikan pemain-pemain mampu mengikuti taktikal 3-4-3 yang sering kali menjadi pilihan Kim Swee semasa dalam Kejohanan AFC B-23 dan Sukan SEA 2017.

"Objektif kami adalah memastikan pemain-pemain memahami posisi ketika kehilangan bola, memulakan permainan daripada penjaga gol dan mereka telah mula menampakkan hasil," tambahnya.