Skuad Harimau Malaya masih gagal menemui kemenangan selepas dikecewakan Lubnan 1-2 dalam aksi terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, semalam.

Bagaimanapun, skuad bimbingan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, itu berjaya menjelmakan satu corak permainan yang menarik berbanding ketika turun menentang Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa Kelas A, Rabu lalu, yang berakhir dengan keputusan 2-2.

Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu hari ini, berkata salah satu faktor penyumbang kepada persembahan positif skuad Harimau Malaya itu adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Untuk pengetahuan semua, persembahan bertenaga anak buah Tan Cheng Hoe itu tadi, salah satu faktornya adalah kerana sokongan padu daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berjanji untuk terus berdiri teguh di belakang skuad Harimau Malaya.

"Tunku Ismail telah menghubungi saya di Beirut pada sebelah pagi dengan baginda berjanji memberikan bonus kepada pasukan jika berjaya mencatat kemenangan dan segala titah baginda itu serta kata-kata semangatnya telah saya sampaikan kepada para pemain ketika sesi makan tengah hari," katanya dalam kenyataan itu.

Dalam perlawanan itu, kapten Lubnan, Hassan Maatouk, menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-19 sebelum Malaysia menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Muhammad Syafiq Ahmad, pada minit ke-72.

Namun, nasib ternyata tidak menyebelahi skuad kebangsaan apabila Hilal Al Helwe berjaya mencuri peluang untuk meledak gol kedua Lubnan pada masa kecederaan, sekali gus muncul wira pasukan tuan rumah.

Dalam pada itu, Hamidin optimis pemain negara mampu mengulangi persembahan bertenaga itu apabila bertemu Bhutan dalam aksi persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini, sekali gus menamatkan kemarau panjang tanpa kemenangan Harimau Malaya.

-- BERNAMA