Ketua jurulatih Brazil, Tite, berkata pemain bintang, Neymar, tidak akan diketepikan daripada pasukan bimbingannya itu sekiranya dia cergas.

Neymar tidak disenaraikan kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), dalam aksi pembukaan Ligue 1 menentang Nimes tatkala spekulasi masa depannya masih menjadi persoalan.

Barcelona dikaitkan dengan perpindahan buat penggempur itu dan laporan minggu ini memaparkan PSG telah menolak bidaan daripada kelab gergasi Catalan itu serta seteru utama dalam LaLiga, Real Madrid.

PSG membayar rekod yuran perpindahan berjumlah EUR222 juta (RM1.02 bilion) sewaktu membawa masuk Neymar daripada Barca tetapi tempohnya di Perancis menyaksikan dia dibelenggu masalah kecederaan sambil rakan sepasukan, Kylian Mbappe, menjadi watak utama kelab.

Neymar menerima tamparan di penghujung musim lalu memandangkan selepas dia pulih daripada kecederaan kaki, dia mengalami masalah di bahagian buku lali sehingga membuatkannya terlepas saingan Copa America tatkala Brazil mengakhiri saingan dengan gelaran juara.

Namun, pengarah kelab, Leonardo, mengesahkan pemain berusia 27 tahun itu sudah pulih dan disenaraikan dalam pasukan menjelang aksi persahabatan menentang Colombia serta finalis Copa America, Peru.

"Apa yang boleh saya katakan, memikirkan tentang pemain hebat seperti Neymar, kami tidak akan ketepikannya daripada kumpulan ini," kata Tite.

"Kami berbincang mengenai tiga aspek yang boleh dikongsi. Tidak semua tetapi untuk perkara ini, boleh. Pertama, keadaannya ketika ini. Dia gembira, berasa bagus dan bekerja seperti biasa.

"Saya bertanya tentang emosinya kerana perkara ini penting buat persembahan pemain. Dia tenang, tahu tentang situasi yang berlaku dan menunggu PSG untuk menerangkan kepada orang ramai.

"Aspek ketiga yang kami bincangkan adalah perasaan kami sebelum perlawanan kerana terdapat peluang untuk beraksi sekiranya dia cergas."