Dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menawarkan pemberian diskaun tiket sehingga lebih 60 peratus pada harga serendah RM10 bagi menyaksikan aksi perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan berkata tiket tempat duduk terbuka akan dijual pada harga RM10, termasuk caj pemprosesan (pembelian dalam talian) dan RM15 (pembelian di kaunter stadium), manakala tiket tempat duduk utama (grandstand) dijual pada harga RM15 termasuk caj pemprosesan (pembelian dalam talian) dan RM20 bagi pembelian di kaunter stadium.

"Bagaimanapun, harga tiket kanak-kanak (7-12 tahun) bagi pembelian secara online ataupun di kaunter kekal pada harga RM7 tanpa sebarang caj pemprosesan dikenakan," jelasnya.

Penyokong boleh membeli tiket bagi perlawanan persahabatan berkenaan secara dalam talian bermula esok sehingga pukul 11.59 malam pada Jumaat manakala pembelian di kaunter stadium adalah pada hari perlawanan, jelasnya.

Berdasarkan ketetapan sebelum ini, harga tiket bagi perlawanan antarabangsa tier satu berharga RM20 bersama caj pemprosesan (pembelian secara dalam talian) dan RM30 (pembelian di kaunter stadium) bagi tempat duduk terbuka manakala tiket bagi tempat duduk utama berharga RM40 bersama caj pemprosesan (pembelian secara dalam talian) dan RM50 bagi pembelian di kaunter stadium.

Dalam pada itu, Stuart mengesahkan tiket bagi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Thailand serta Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 dan 19 November ini adalah kekal.

Harga tiket bagi tempat duduk terbuka adalah RM30 bersama caj pemprosesan (pembelian dalam talian) dan RM40 bagi pembelian di kaunter stadium, manakala harga tiket bagi tempat duduk utama adalah RM50 bersama caj pemprosesan (pembelian dalam talian) dan RM60 bagi pembelian di kaunter stadium.

Harga tiket kanak-kanak berusia 7-12 tahun, turut kekal pada kadar RM7 sekeping.

Penyokong boleh membeli tiket bagi perlawananan di antara Malaysia dan Thailand menerusi dalam talian bermula Khamis ini sehingga pukul 11.59 malam pada 13 November manakala pembelian dalam talian bagi perlawanan Malaysia dan Indonesia dibuka dari Khamis ini sehingga pukul 11.59 malam pada 18 November.

Stuart memaklumkan penyokong yang ingin membeli tiket perlawanan di kaunter stadium boleh berbuat demikian pada hari perlawanan, iaitu 14 November dan 19 November ini.

Kesemua pembelian tiket dalam talian boleh dilakukan di laman web tickethotline, iaitu www.tickethotline.com.my

-- BERNAMA