Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan hasrat menurunkan Kiko Insa, S. Kunanlan dan Nor Azam Azih apabila masalah kecederaan menghimpit mereka bagi menghadapi aksi persahabatan berdepan Mongolia, Khamis ini.

Pemain tengah Pahang, Nor Azam mengalami kecederaan lutut manakala bek kanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Kunanlan, dihimpit kecederaan buku lalu dan mereka terpaksa direhatkan selama dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Secara jelas, penampilan mereka tidak lagi relevan untuk skuad negara yang bakal berhadapan Mongolia dalam aksi persahabatan, Khamis ini.

Sementara itu, hasrat Insa untuk menyarung jersi Malaysia buat kali kedua turut samar apabila mengalami sakit mata yang dikhuatiri boleh berjangkit kepada pemain lain.

Hanya satu penggantian dibuat menerusi pertahanan JDT II, Adib Zainuddin, dan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, tidak berhasrat untuk menambah nama baru dalam masa terdekat.

"Saya berasakan skuad ini sudah mencukupi dan setiap posisi memiliki pemain yang mampu mengisi kekosongan," katanya.

Latihan padang pada hari kedua menyaksikan hanya 27 pemain menjalani latihan manakala Insa tidak bersama pemain-pemain lain atas nasihat doktor pasukan.

"Insa mengalami jangkitan kuman di matanya dan kami terpaksa mengetepikannya daripada pasukan kerana ia berkemungkinan mampu berjangkit kepada pemain-pemain lain."