Dua pasukan Liga Super dan satu pasukan Liga Perdana berdepan risiko disingkirkan daripada saingan musim ini lantaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) enggan berkompromi mengenai isu tunggakan gaji pemain yang masih belum dilangsaikan.

FAM mencanangkan tindakan lebih tegas susulan terdapat beberapa pasukan Liga Malaysia yang masih lagi dijangkiti penyakit lama, iaitu gagal melunaskan tunggakan gaji pemain.

Ia selepas badan pelesenan kelab badan induk itu melakukan semakan dan pemeriksaan dokumen kewangan daripada pembentangan suku kedua bajet baru-baru ini.

"Jawatankuasa pelesenan kelab telah memutuskan tiga pasukan akan menerima amaran terakhir. Pada 30 Januari ini, jika tunggakan gaji tidak dibayar atau persetujuan bersama pemain tidak diraih, pasukan tersebut akan ditolak tiga mata dalam liga.

"Jika sebelum 28 Februari gaji tidak dibayar atau melanggar perjanjian bersama pemain, enam mata akan ditolak. Jika pada 30 Mac isu ini masih belum selesai, mereka akan dikeluarkan daripada liga," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan lima pasukan terbabit dengan isu tunggakan gaji pemain, termasuk jurulatih, iaitu PDRM FA, Melaka, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu FC.

Stuart menegaskan masalah berkenaan bukan sahaja perlu diselesaikan menerusi pembayaran penuh tetapi ia juga melibatkan perjanjian bersama pemain terbabit.

"Ia keluar daripada semua kejohanan musim ini dan jika pasukan terbabit berhasrat untuk kembali dalam liga tahun depan, mereka akan bermula daripada liga bawahan dan hutang perlu sudah dijelaskan. Sebagai contoh kalau pasukan itu daripada Liga Super, mereka akan bermula dengan Liga Perdana," jelasnya.

Terdahulu berlangsungnya majlis pelancaran Liga Malaysia 2020 di Shah Alam yang disempurnakan oleh Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Menandakan musim baru liga akan bermula tidak lama lagi, MFL turut memberi taklimat kepada semua pasukan Liga Malaysia mengenai penganjuran saingan musim ini.

Badan pentadbir Liga Malaysia itu berdepan cabaran hebat untuk melaksanakan Program Kawalan Ekonomi (ECP) untuk tahun pertama.

"ECP ini perlu dibuat dan dilaksanakan bermula tahun ini kerana penguatkuasaan penuh akan dilakukan pada 2020 dan 2021 kerana untuk pasukan, kami perlu memperkenalkannya terlebih dahulu," kata Hamidin.

MFL memperkenalkan ECP yang digunakan dalam LaLiga di Sepanyol sebagai usaha menangani masalah kewangan pasukan, khususnya hutang dan tunggakan gaji pemain.



Editor: Nafis Abdullah