Pengurus Celtic, Neil Lennon, memberitahu Arsenal bahawa mereka perlu meningkatkan tawaran untuk mendapatkan Kieran Tierney sambil menyifatkan pertahanan itu sebagai pemain lebih lengkap berbanding pemain baru Manchester United bernilai GBP50 juta (RM254 juta), Aaron Wan-Bissaka.

The Gunners dilaporkan telah mengemukakan bidaan kedua bernilai sekitar GBP25 juta (RM127 juta) buat pemain Scotland itu tetapi ditolak.

Lennon enggan melihat Celtic menurunkan harga buat aset utama mereka itu tatkala mereka cuba melayakkan diri ke pentas Liga Juara-Juara Eropah menerusi saingan kelayakan berdepan Sarajevo.

Dia percaya Tierney seorang pemain lebih lengkap berbanding Wan-Bissaka -- yang meninggalkan Crystal Palace untuk ke United bulan lalu -- dan menunggu tawaran lebih baik buat bek kiri itu.

"Kami tidak boleh berbuat apa-apa tentang apa yang kelab lakukan di England," katanya.

"RM254 juta buat Wan-Bissaka merupakan satu jumlah wang yang banyak dan kami rasa Tierney jauh lebih berpengalaman dalam kariernya.

"Dia adalah aset kami dan kami perlu menilai pemain serta meletakkan tanda harga yang tinggi.

"Tidak hormat adalah satu terma yang salah tetapi kami tidak akan mengejar perpindahan. Kami dalam situasi yang kukuh dengan beberapa aset dalam pasukan.

"Penilaian kelab buat Tierney tidak dicapai dan kami tidak melakukan perbincangan selagi ia tidak berlaku. Dia seorang pemain hebat dan berbakat. Pada usia 22 tahun, dia telah mencapai pelbagai kejayaan dan banyak yang boleh ditawarkannya.

"Dia pemain kami dan mempunyai kontrak jangka panjang. Sesetengah pemain yang meninggalkan pasukan dalam beberapa tahun terakhir ini telah beraksi dengan baik dalam Liga Perdana Inggeris. Kami fikir kami tahu membangunkan pemain.

"Namun, kami tidak mahu mereka berada dalam Liga Perdana Inggeris. Kami mahu mereka bersama kami bagi saingan Liga Juara-Juara."