Seramai 27 pemain dan kakitangan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang mendakwa tidak dibayar gaji sejak Mac tahun lepas terpaksa menjadi nelayan dan kerani untuk menjana pendapatan sampingan.

Selain itu, sebahagian mereka pula menjadi kerani dan mengambil upah mencuci kereta setelah tidak menerima tunggakan gaji dalam tempoh sembilan bulan itu.

Penjaga gol, Fahmi Izzarin Mustafa, 24, yang bercakap mewakili kumpulan tersebut berkata PFA gagal membuat sebarang bayaran selama satu musim dari Mac tahun lepas hingga tarikh akhir dijanjikan pada 7 Januari lepas.

"Pengurusan PFA bukan sahaja memberi pelbagai alasan dan berdolak-dalik, malah menganggap isu tersebut telah selesai setelah mereka mencapai persetujuan pembayaran akhir tahun lalu," katanya dalam sidang media yang dihadiri 16 pemain di Kangar, hari ini.

Fahmi Izzarin berkata mereka keliru dengan status sebagai pemain kerana PFA telah menandatangani pemain baru untuk bertanding dalam Liga Malaysia musim 2019.

Katanya, dia dan rakan-rakannya telah berkorban menggunakan perbelanjaan sendiri bagi menampung kos penginapan dan pengangkutan untuk mengharungi Liga FAM tahun lalu.

Seorang lagi pemain, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, berkata mereka seakan-akan digantung tidak bertali kerana kontrak yang ditandatangani dengan PFA masih sah dan tidak boleh menyertai pasukan lain selagi tidak dilepaskan oleh persatuan itu.

Katanya, presiden PFA yang baru, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, dalam kenyataannya pada Oktober tahun lalu berkata bahawa isu gaji pemain yang tertunggak lebih RM460,000 sejak Mac tahun lalu dianggap selesai setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan cara pembayaran.

“Jika ikut persetujuan, pembayaran akan dibuat berperingkat-peringkat, namun sehingga kini tidak satu senpun dijelaskan,” kata Ezzrul Ikmanizar.

Kemelut itu menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan menggunakan peruntukan kepada PFA untuk musim 2019 bagi menjelaskan gaji tertunggak pemain.

-- BERNAMA