Tiada tawaran kukuh buat Neymar, kata Leonardo

Oleh Staff Writer 21 Julai 2019 1126
Tiada tawaran kukuh buat Neymar, kata Leonardo
Paris Saint-Germain (PSG) tidak menerima sebarang tawaran kukuh untuk Neymar, kata pengarah sukan kelab itu, Leonardo.

Penyerang kebangsaan Brazil itu sedang hangat diperkatakan untuk meninggalkan juara Ligue 1 berkenaan dengan bekas kelabnya, Barcelona, dikhabarkan bersedia untuk mendapatkan kembali khidmatnya.

Neymar masih belum diturunkan dalam sebarang perlawanan pra-musim dan sekali lagi terlepas aksi ketika skuad kendalian Thomas Tuchel itu terikat 1-1 dengan Nurnberg dalam perlawanan persahabatan di gelanggang lawan, awal pagi tadi.

Leonardo sebelum ini berkata pemain berusia 27 tahun itu boleh meninggalkan pasukan dengan harga yang berpatutan, namun dia memberitahu wartawan selepas perlawanan di Jerman itu bahawa tiada sebarang tawaran dikemukakan kepada pihaknya setakat ini.

"Sejujurnya, tiada sebarang perbezaan seperti kali terakhir kita bercakap mengenainya," katanya seperti yang dipetik Le Parisien.

"Tiada langsung. Ia tiada perkembangan.

"Tiada sebarang tawaran kukuh untuk mendapatkan Neymar, dia masih bersama kami.

"Dia masih pemain Paris Saint-Germain.

"Saya ulanginya, tiada sebarang tawaran kukuh.

"Ia situasi sama sejak 10 hari lalu," katanya.

Tuchel pula enggan terbawa-bawa dengan spekulasi masa depan Neymar, dua tahun selepas penyerang itu menjadi pemain termahahal dunia, sambil mengakui dia masih lagi sebahagian daripada pasukannya.

"Situasi di antara Neymar dan saya sudah selesai.

"Ia kini antara dia dan kelab ini.

"Dia masih sebahagian daripada kami dan akan menjalani latihan bermula esok," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen