MANCHESTER CITY 5 ATALANTA 1

Pep Guardiola menegaskan tiada siapa lebih mempercayai Phil Foden seperti dirinya selepas pemain muda Manchester City itu menamatkan aksi memukaunya dengan layangan kad merah ketika menewaskan Atalanta 5-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Etihad awal pagi tadi.


Foden beraksi sebagai kesebelasan utama buat kali kedua musim ini dalam perlawanan Kumpulan C itu.

Dia memaparkan aksi cemerlang di bahagian tengah dengan menjana jaringan hatrik Raheem Sterling dalam babak kedua selepas Sergio Aguero menghasilkan gol berganda dalam babak sebelumnya.

Pemain sensasi City itu membantu jaringan pertama Sterling, namun aksi cemerlang remaja berusia 19 tahun berkenaan ditamatkan dengan layangan kad kuning kedua pada enam minit terakhir.

Ditanya sama ada Foden perlu membuktikan sesuatu untuk menjadi pemain tetap dalam kesebelasan utama pasukannya, Guardiola berkata dalam sidang media: "Dia tidak perlu membuktikan apa-apa kepada saya.

"Dia mungkin tidak akan bersama kami. Sayalah yang menjemputnya di akademi untuk bermain bersama kami.

"Tiada siapa lebih mempercayai Phil daripada saya.

"Saya bos, saya yang akan memilih (siapa yang akan diturunkan).

"Saya fikir ia adalah perlawanan untuk dia memiliki peluang melakukan larian ketika serangan balas.

"Phil mempunyai kualiti untuk bermain dari kotak ke kotak dengan kepantasannya.

"Itulah sebab saya menurunkannya, ia pemilihan taktikal.

"Dia masih muda, masih banyak yang perlu ditingkatkannya.

"Tetapi ia penting. Musim lalu, dalam salah satu perlawanan terbesar, dia bermain untuk menentang Tottenham.

"Dia beraksi dengan amat baik, sama seperti hari ini.

"Setiap minit dia bermain, dia akan mendapat pengalaman untuk masa depannya.

"Dia bermain pada tahap yang tinggi," katanya.

Guardiola, bagaimanapun, mengakui masih banyak yang perlu dipelajari Foden sambil mengakui berasa kecewa dengan layangan kad merah buat pemain itu.

"Dia akan belajar. Tidak pernah ada denda (untuk pemain yang dilayangkan kad merah) melainkan mereka melakukan perkara bodoh yang bukan sebahagian daripada permainan.

"Dia akan tahu bahawa selepas meraih satu kad kuning, anda perlu lebih berhati-hati.

"Ada beberapa perkara yang dia masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan David (Silva), (Ilkay) Gundogan dan Kevin (De Bruyne).

"Dia perlu membiasakan diri dengan situasi ini, meraih kad kuning dan berwaspada.

"Sudah pasti tiada denda untuknya. Mungkin saya yang perlu membayarnya disebabkan aksi baiknya," tambahnya.