Jurulatih Perak, Karl-Heinz Weigang, mencetuskan kontroversi apabila mendakwa tugasnya sudah selesai dan mahu pulang ke tempat asalnya ketika bertemu penyokong Perak sejurus tewas 3-0 kepada PKNS FC di Stadium Shah Alam, semalam.

Ketika ditemubual dalam sesi sidang media, Weigang menjelaskan tindakannya itu.

"Apabila saya bertemu penyokong, menang atau kalah, saya tidak pernah mengejar nama. Saya tidak perlukan sebarang kegemilangan.

"Tiada jurulatih di dunia ini yang telah mencapai banyak kejayaan di negara ini berbanding saya.

"Jika kamu mampu buktikan saya salah, saya akan membayar kamu RM1,000," tegasnya.

Sementara itu, pengendali, PKNS FC, E. Elavarasan, enggan berpuas hati dengan persembahan pasukannya meskipun The Red Ants tampak sudah berada di prestasi terbaik.

PKNS bergelut pada awal musim susulan tewas dalam dua perlawanan pertama, bagaimanapun mereka bangkit ketika bertemu Selangor minggu lalu menerusi kemenangan 5-3.

Semalam, momentum itu berjaya dikekalkan, sekaligus merekodkan kemenangan kedua berturut-turut musim ini.

Lucas Espindola muncul wira PKNS apabila meledak dua gol dengan Safee Sali meledak gol keduanya musim ini.

"Bola sepak sentiasa ada naik turun, jadi penting untuk kekal konsisten. Setakat ini, segala-galanya berjalan lancar tetapi paling penting, pemain perlu menjaringkan gol," katanya.