Cristiano Ronaldo tidak akan menghadapi pertuduhan serangan seksual ke atas seorang wanita di Las Vegas, 10 tahun lalu, umum Pejabat Peguam Daerah Clark County, hari ini.

Keputusan itu diumumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui akaun Twitter pejabat itu dengan kesimpulan: "Berdasarkan semakan semula maklumat yang dikemukakan ketika ini, tuduhan serangan seksual terhadap Cristiano Ronaldo tidak dapat dibuktikan dan ia melampaui keraguan yang munasabah. Oleh itu, tiada sebarang dakwaan akan dikenakan terhadapnya."

Kathryn Mayorga, dalam laporan yang diterbitkan akhbar Jerman Der Spiegel, Oktober lalu, menuduh Ronaldo telah merogolnya di sebuah hotel di bandar itu.

Menurut Der Spiegel, Mayorga membuat aduan serangan seksual pertama pada 2009, kemudiannya mencapai penyelesaian dengan Ronaldo di luar mahkamah.

Majalah itu mendakwa dia telah dibayar $375,000 (RM1.5 juta) sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk menutup mulutnya dan menghalang tuduhan itu daripada didedahkan secara umum.

Pasukan undang-undang Ronaldo menyifatkan laporan Der Spiegel pada 2018 itu sebagai "terang-terangan menyalahi undang-undang" dan mengesahkan mereka akan mengambil tindakan terhadap penerbitan itu ekoran "laporan yang tidak berasas berhubung hak peribadi."

Pemain itu menafikan dakwaan tersebut, Oktober lalu, dengan berkata: "Saya dengan tegas menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya. Rogol merupakan satu jenayah kejam yang bertentangan dengan segala kepercayaan saya. Saya tidak mahu menjadi bahan berita kepada orang yang ingin mengambil kesempatan ke atas saya demi keuntungan mereka sendiri.

"Kesedaran yang ada membolehkan saya bersikap tenang dalam menantikan kebenarannya sepanjang siasatan ini."