Tonggak Brazil dan Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Silva, mengambil inspirasi daripada Zinedine Zidane apabila merancang untuk bersara sebelum dia "memalukan" dirinya sendiri.

Silva, yang membuat 39 penampilan untuk juara Ligue 1 itu musim lalu, telah beraksi dalam tiga kempen Copa America setakat ini.

Perkara itu dilihat tidak akan berlaku dalam masa terdekat, namun Silva percaya keputusan Zidane untuk menggantung but pada usia 34 tahun sejurus selepas Piala Dunia 2006 adalah contoh terbaik untuk bersara ketika dia di puncak permainan.

"Saya harap saya boleh memuktamadkan keputusan persaraan sebelum kaki saya sendiri yang menyerah kalah," kata pertahanan itu kepada majalah rasmi PSG.

"Saya tidak mahu memalukan diri di atas padang pada suatu hari nanti. Sekiranya tidak berada di tahap terbaik, pemain lawan boleh mengatasi saya dengan mudah.

"Saya gembira kerana telah berjaya dalam kerjaya dan saya mahu menamatkannya di tahap tertinggi.

"Saya meminati cara Zinedine Zidane menamatkan kerjayanya, iaitu sejurus berakhirnya Piala Dunia. Pada suatu hari nanti, saya juga perlu membuat keputusan untuk bersara," tambahnya.

Tidak seperti legenda Perancis itu -- yang menjadi pengurus di Real Madrid -- Silva percaya dia lebih sesuai dengan peranan jurulatih.

"Saya tidak melihat diri saya sebagai ketua, saya mahu berada di padang tetapi mungkin sebagai jurulatih atau sebagai pembantu jurulatih (bukannya pengurus)," jelasnya.

"Saya akan menonton sebanyak mungkin perlawanan. Saya ingin belajar dunia bola sepak yang berbeza, sama ada Perancis, Belanda atau Itali dan pertahanan mahupun serangan.

"Dengan pengalaman yang saya ada sebagai pemain, suatu hari kelak saya harap dapat bertindak sebagai jurulatih."

Silva dijangka akan membarisi kesebelasan utama Brazil untuk menghadapi Paraguay di peringkat suku akhir Copa America 2019, Jumaat ini.