Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, menamakan perancang tengah Terengganu, Lutfulla Turaev, sebagai pemain yang harus diberikan perhatian pasukannya menjelang pertemuan dua pasukan itu dalam pusingan ketiga Piala FA di Kuala Terengganu, malam ini.

“Jentera tengah akan mempengaruhi keputusan perlawanan yang berperanan penting membantu barisan pertahanan dan menggerakkan serangan.

“Turaev seorang pemain yang sangat baik sejak bersama Felda United, malah sekarang juga prestasinya sedang meningkat.

“Kami harus bekerja keras, terutama rakan senegaranya, Dilshod (Sherofetdinov), yang tahu corak permainan Turaev.

“Malah, pemain-pemain harus mengelak daripada melakukan kesilapan kerana Turaev boleh menghukum kami dengan situasi bola mati,” ujarnya.

Ketua jurulatih dari Indonesia itu turut berharap gandingan Abdoulaye Maiga dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dapat kembali daripada kecederaan mereka untuk memperkemaskan barisan pertahanannya.

“Khidmat dua pemain itu diperlukan untuk mengawal pergerakan (Federico) Falcone dan Issey (Farran Nakajima).

“Mereka memiliki barisan pemain yang berkualiti dan saya percaya Terengganu akan memberi saingan sengit walaupun mereka beraksi dalam Liga Perdana,” tambah Rahmad lagi.