Hasrat Terengganu FC (TFC) mencatat kemenangan kedua dalam Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu dinafikan TFC II selepas tunduk 0-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu terlebih dahulu mencemaskan kubu lawan seawal minit kedua, yang menyaksikan Muhd Fauzi Abdul Kadar gagal menewaskan Amierul Hakimi Awang.

TFC II memperkemaskan rentak dan turut berpeluang memperoleh gol awal, namun sepakan percuma Mohd Fakhrurazi Musa pada minit ke-11 sekadar mengenai tiang gol lawan.

Peluang TFC II menjelma lagi apabila Akanni Sunday Wasiu membuat lorongan kepada Dhiyaulrahman Hasry sebelum percubaannya di dalam kotak penalti tinggi melepasi sasaran pada minit ke-32.

Sepuluh minit sebelum rehat, TFC melancarkan gerakan di sebelah kanan menerusi J. Partiban, malangnya Amierul Hakimi mudah menangkap kemas sepakan lemah bekas pemain Sarawak itu.

Selepas itu, Kem TFC hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-52 apabila hantaran Mohd Faiz Nasir menemui Abdul Latiff Suhaimi tetapi tandukannya gagal menerjah jaring.

Kerja keras pasukan adik akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-73 menerusi Akanni Sunday yang melakukan tindakan susulan daripada percubaan awal Bruno Junichi Suzuki.

Lima minit berselang, giliran Bruno menjadi penjaring gol hasil sepakan percuma menarik menewaskan Muhd Syazwan Yusoff buat kali kedua dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Melaka United meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.