Ole Gunnar Solskjaer menggambarkan kekalahan Manchester United kepada Wolverhampton Wanderers dalam suku akhir Piala FA di Stadium Molineux, awal pagi tadi, sebagai "suatu langkah ke belakang".

The Red Devils jelas tidak dapat mengatasi skuad kendalian Nuno Esprito Santo itu, yang menjaringkan dua gol dalam babak kedua menerusi Raul Jimenez and Diogo Jota, untuk ke separuh akhir.

Marcus Rashford menjaringkan gol sagu hati dalam masa kecederaan, namun ia sudah terlalu lewat untuk menutup aksi hambar United, yang tewas dua perlawanan berturut-turut selepas mengejutkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Solskjaer tiada apa untuk dirungutkan tentang keputusan perlawanan itu, sebaliknya menerima kekalahan itu berpunca daripada kelemahan pasukannya sendiri dalam melakukan hantaran dan menembusi pertahanan lawan.

"Kami bermula dengan terlalu perlahan dan menurut kepada kehendak mereka," katanya kepada BBC Sport.

"Penguasaan kami tidak cukup menyerlah dan pantas, jadi ia amat mengecewakan.

"Saya tidak rasakan kami memiliki kualiti yang cukup di bahagian serangan.

"Kami menguasai bola dalam babak pertama, namun ia tidak akan membantu sekiranya anda memberikan mereka peluang untuk melakukan serangan balas.

"Ia merupakan langkah ke belakang, terutama disebabkan kualiti dalam penguasaan dan hantaran," katanya.

Sementara itu, Nuno gembira dengan pretasi pasukannya dan memuji ketenangan mereka untuk melangkah ke separuh akhir buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Piala FA sejak musim 1997-98.

"Saya amat berbangga dengan pemain saya.

"Kami memiliki ketenangan, kecergasan dan larian yang baiik. Saya mengucapkan tahniah buat pemain dan ia berlaku dalam suasana yang amat hebat.

"Ia memberikan makna yang besar memandangkan kita semua tahu betapa besarnya Wolves pada era 1950 hingga 1960-an dan terdapat penyokong di stadium yang mempunyai kenangan itu.

"Untuk kembali mencapai tahap itu amat-amat sukar sekarang, namun kami akan mencubanya sedikit demi sedikit.

"Kami akan menghormati setiap pasukan dalam separuh akhir," katanya.