Carlos Tevez mahu bersara daripada bola sepak selepas kontraknya bersama Boca Juniors tamat pada penghujung tahun depan.

Bekas pemain Manchester United, Manchester City dan Juventus itu menyertai semula Boca buat kali kedua pada Januari lalu, menyingkatkan tempohnya beraksi di China bersama Shanghai Shenhua.

Tevez menjaringkan empat gol sejak kembali ke Argentina dalam usaha membantu pasukannya menjuarai gelaran Superliga.

"Saya berasakan selepas kontrak berakhir, saya akan bersara," kata pemain berusia 34 tahun itu.

"Saya tidak mahu bersara dan terus menjadi jurulatih atau pengarah. Saya perlu melakukan persediaan terlebih dahulu."

Tevez memenangi Copa Libertadores bersama Boca pada 2003 dan merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) -- dua daripadanya ketika bersama United dan satu lagi bersama City -- termasuk gelaran Liga Juara-Juara (UCL) ketika bermain untuk The Red Devils.

Dia juga menjulang gelaran Serie A dua kali bersama Juventus.