Menjelang perlawanan persahabatan Brazil dengan Jerman pada Mac lalu, pengurusnya, Tite, tidak berhenti-henti ditanya mengenai pertemuan yang diberi jolokan 'Mineirazo' – keaiban dibelasan 7-1 oleh skuad Die Mannschaft itu di Belo Horizonte, empat tahun lalu.

Ia satu perlawanan separuh akhir Piala Dunia yang membawa malu besar terhadap sebuah negara berbudaya bola sepak, satu kekalahan yang ditafsirkan sebagai titik terendah dalam sejarah bola sepak Brazil – malah jauh lebih rendah daripada 'Maracanazo', di mana Brazil tewas kepada Uruguay dalam Piala Dunia 1950 di negara sendiri.

Tite mengakui di Berlin ketika itu: “Perlawanan ini mempunyai makna psikologi yang besar – tiada siapa yang harus memperbodohkan diri mengenai itu.

“Kekalahan 7-1 dalam Piala Dunia umpama hantu. Orang masih bercakap mengenainya tapi lebih banyak anda bercakap mengenainya, semakin kurang ‘hantu’ ini hilang,” katanya.

Kemenangan 1-0 Brazil dalam perlawanan persahabatan itu seharusnya membawa penutup kepada cerita itu, namun ia terus menghantui.

Dipercepatkan kepada tiga bulan kemudian, Tite harus kerap terjaga daripada tidurnya sambil prospek terhadap ulangan perlawanan dalam Piala Dunia semakin jelas.

“Kami tidak boleh memikirkan mengenainya dan kami tidak, saya boleh beri jaminan kepada anda,” kata Tite, Selasa lalu, sewaktu ditanya prospek berdepan skuad kendalian Joachim Low itu dalam pusingan 16.

Bagaimanapun, anda boleh berasakan dia tidak bercakap benar.

Maka, apabila Jerman tersingkir daripada kejohanan malam tadi, harus tidak banyak negara yang meraikannya sehebat Brazil. Ia adalah satu kekangan mental yang mereka tidak perlu lagi atasi.

Perlawanan membalas dendam terhadap 'Mineirazo' boleh saja diadakan pada hari lain, dalam kempen Piala Dunia yang lain.

Dalam separuh masa pertama perlawanannya menentang Serbia, ia kelihatan seperti satu beban berat telah dibebaskan daripada pemain-pemain Brazil.

Neymar dan Philippe Coutinho menjelajahi padang dengan lebih bersemangat. Tite berkata sebelum ini bahawa Neymar, pemain termahal dunia, memerlukan satu perlawanan lagi untuk kembali menyerlah selepas patah tulang metatarsal membantutkan musim sulungnya di Paris Saint-Germain (PSG).

Jika itulah yang dijangkakan, maka pertahanan lawan harus gementar, bermula dengan lawan mereka dalam pusingan 16.

Jika prestasi Neymar adalah peningkatan daripada persembahan hambarnya ketika berdepan Switzerland dan Costa Rica, maka Coutinho pula dilihat terus cemerlang.

Bekas perancang Liverpool itu sekali lagi menyerlahkan kelicikan buat seorang pemain yang semakin menjadi tumpuan dunia. Dia adalah penghubung yang penting dalam jentera Brazil dan Barcelona.

Bukanlah memeranjatkan apabila Coutinho mencipta gol pembukaan dengan melambungkan umpanan untuk Paulinho menyudahkannya.

Sambil Serbia menghadirkan ancaman dalam tempoh lima minit dalam separuh masa kedua, permainan sudahpun berakhir apabila Thiago Silva menanduk masa hantaran Neymar pada minit ke-68.

Sesudah itu, Russia akhirnya dapat menonton kejaguhan sebenar Brazil.

Namun, ia bukanlah bermaksud mengatakan ia satu persembahan sempurna. Alisson kelihatan tidak tenteram di depan pintu golnya dan di hujung berlawanan, Gabriel Jesus ada kalanya kelihatan hilang arah.

Tapi, dengan kemaraan ke peringkat kalah mati sudah disahkan dengan menjuarai kumpulan, Neymar sudah mula menyinar dan barangkali lebih penting daripada segala-galanya, Jerman sudah terkeluar.