Berita pemergian penjaga gol, Mohd Suffian Rahman, disambut penuh sayu rakan sepasukannya dalam skuad Terengganu FC (TFC) yang terkejut dengan situasi itu.

Pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya, mengakui terkilan tidak sempat melawat rakan yang dianggap abang itu sejak Allahyarham dimasukkan ke hospital.

Syamim antara teman yang setia menemani perjalanan akhir penjaga gol berusia 41 tahun itu ke tanah perkuburan sehingga selesai pengebumian jam 6.50 petang tadi.

Menurutnya, Allahyarham merupakan ketua yang tidak lokek berkongsi ilmu walaupun beraksi di posisi berlainan selain mudah didekati rakan mahupun pemain lawan.

"Memang kami menunggu sebaik arwah pulang dari hospital, namun belum sempat selain permintaan keluarganya yang mahukan dia berehat.

"Saya menjadi rakan sepasukannya pada 2016 (Felda United) dan kehilangannya sangat dirasai kerana arwah seorang yang mesra," jelasnya.

Sementara itu, pembantu jurulatih TFC, Kamarudin Anuar, menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada skuad Sang Penyu.

Kamarudin berkata dia sudah mengenali Allahyarham sejak menjadi pembantu kepada K. Devan di Negeri Sembilan sejak 2000 sehingga 2005.

Khidmat penjaga gol itu kemudian ditagih Irfan Bakti Abu Salim untuk memperkuatkan TFC dalam saingan Liga Perdana pada 2017 sehingga kini.

"Allahyarham seorang yang komited dalam latihan serta perlawanan.

"Irfan dan saya bertanggungjawab membawa masuk Allahyarham ke dalam pasukan TFC dan kehilangan ini satu kesan besar kepada semua," jelasnya.

Allahyarham Suffian disahkan meninggal dunia jam 1.15 petang tadi di kediamannya akibat masalah jantung dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggul Pauh, Seberang Takir.