Cristiano Ronaldo dipertahankan oleh negaranya, Portugal, setelah terlepas anugerah Pemain Terbaik FIFA.

Lionel Messi dinamakan selaku pemain terbaik dunia buat kali keenam, sekali gus mengatasi Ronaldo yang pernah menerima gelaran tersebut sebanyak lima kali dalam majlis Anugerah Best FIFA di Milan, awal pagi tadi.

Ronaldo memenangi kejuaraan Serie A dalam musim sulungnya bersama Juventus dan mengetuai Portugal bergelar juara pertama Liga Negara-Negara UEFA, Jun lalu.

Empat gol yang dijaringkan penggempur itu ketika saingan kelayakan Euro 2020 di Lithuania, awal bulan ini membolehkan pemain berusia 34 tahun itu kini mengumpul 93 gol di pentas antarabangsa.

Selepas Messi dinamakan selaku pemenang dan Virgil Van Dijk di tempat kedua, satu ciapan daripada akaun Twitter rasmi pasukan bola sepak Portugal dilihat mempertahankan kehebatan Ronaldo.

Satu gambar Ronaldo dipaparkan dengan tulisan: "Terbaik Sepanjang Zaman".

Ronaldo dinamakan dalam Kesebelasan Utama FIFA FIFPro bersama-sama Messi untuk kali ke-13 berturut-turut.