Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre Ter Stegen, terpaksa diketepikan daripada aksi final Piala Raja Sepanyol akibat kecederaan lutut.

Penjaga gol Jerman itu terlepas tiga aksi terakhir LaLiga musim ini setelah menjalani rawatan berhubung kecederaan lutut kanan.

Pihak kelab mengesahkan semalam bahawa Ter Stegen masih berasa tidak selesa dan tidak dapat beraksi dalam pertemuan dengan Valencia di Benito Villamarin, Sabtu depan.

Ia bermaksud Jasper Cillessen akan membarisi kesebelasan utama walaupun wujud laporan dia telah bersetuju untuk menyertai Benfica dalam jendela perpindahan.

"Ter Stegen masih berasa tidak selesa di bahagian lutut kanan dan akan meneruskan rawatan untuk beberapa minggu lagi, jadi dia terpaksa diketepikan daripada aksi final Piala Raja Sepanyol, Sabtu ini," kata wakil Barcelona menerusi laman Twitter.

Ter Stegen telah beraksi sebanyak 49 perlawanan buat Barca musim ini, termasuk kedua-dua aksi separuh akhir Piala Raja Sepanyol berdepan Real Madrid.

Cillessen pula yang diturunkan dalam pusingan sebelum itu dalam kejohanan musim 2018-19, hanya dibolosi tiga gol ketika berdepan Cultural Leonesa, Levante dan Sevilla.

Juara LaLiga, Barcelona, kini sedang memburu trofi ketiga setelah turut menjulang Piala Super Sepanyol musim ini.

Dalam masa sama, Valencia tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak kemenangan 3-1 ke atas Getafe dalam final Piala Raja Sepanyol pada 2008.