Tatkala pengendali skuad bawah 16 tahun negara, Lim Teong Kim, masih melihat dia sebagai individu paling relevan untuk dikekalkan bersama skuad yang dijaga sejak empat tahun lalu, dia dipecat beberapa jam selepas gagal memastikan anak-anak buahnya layak ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun di Peru, tahun depan.

Khidmat Teong Kim tidak lagi diperlukan bersama skuad bawah 16 tahun kebangsaan selepas kegagalan pengendali itu mencapai sasaran layak ke saingan di Peru.

Keputusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu dibuat kurang tiga jam selepas skuad negara tewas 2-0 di tangan Jepun, yang menyaksikan persediaan dan bajet yang diperuntukkan di antara RM15 juta dan RM20 juta setahun berakhir dengan tragedi.

Walaupun Teong Kim melabelkan dirinya sebagai individu paling layak terus bersama skuad muda negara, FAM sudah memiliki kata putus yang lain.

"Ia bukan hanya melibatkan saya. Saya hanya mampu melakukan beberapa perkara. Badan berkaitan bola sepak harus melakukan sesuatu, begitu juga dengan pemain-pemain tetapi ia tidak semudah itu.

"Kita harus melalui pelbagai perkara. Bola sepak bukan hanya perlu turun ke padang dan berlatih. Ia juga melibatkan perkembangan kemanusiaan," katanya.

Teong Kim juga menegaskan bahawa walaupun keputusan yang dipamerkan anak buahnya tidak seperti yang diharapkan, prestasi yang ditampilkan memberi petanda landskap bola sepak negara bakal berubah bagi tempoh masa akan datang

"Ia bukan satu kegagalan. Ia adalah percubaan pertama dan perlukah kami berhenti?

"Sebab itu saya katakan, program ini harus diteruskan."

Sementara itu, dua pemerhati sukan, Hasnizam Uzir dan Asmawi Bakiri, berpendapat bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu harus bertanggungjawab di atas segala situasi yang dilalui skuad B-16 negara selain perlu bersikap lebih terbuka.

"Ia merupakan satu reputasi yang kurang baik daripada Teong Kim kerana sikap ego dan sombongnya itu membuatkan ramai orang tidak boleh menerima kegagalan ini, lebih-lebih lagi Malaysia dalam lembaran baru untuk memperkembangkan bola sepak.

"Kita tidak perlu sombong dengan orang yang sama-sama mahu memajukan bola sepak itu sendiri," ujar Hasnizam.

"Teong Kim harus bertanggungjawab di atas semua persoalan dan kritikan yang timbul. Tindakan memecatnya perlu dihormati kerana ia bukan melibatkan satu proses pembangunan dua atau tiga bulan, sebaliknya melibatkan empat hingga limat tahun," tambah Asmawi.