Bukan tugas mudah tetapi ia tetap harus diharungi oleh kapten pasukan Fiji, Remueru Tekiate, dalam membentuk keserasian terbaik bersama pemain muda menjelang aksi persahabatan kelas A berdepan Malaysia, malam ini.

Tekiate mula mewakili skuad kebangsaan Fiji pada tahun 2012 dengan beraksi di bahagian pertahanan.

Di peringkat awal , pemain berusia 27 tahun itu nyata bergelut untuk mempersiapkan diri dalam mencari keserasian terbaik bersama pemain muda yang kurang berpengalaman.

Namun, dia menyifatkan situasi itu bukan alasan buat rakan sepasukan lain yang rata-rata berusia di antara 18 dan 25 tahun untuk tidak menyahut cabaran dalam usaha melakar kejutan ke atas skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tatkala faktor kelebihan fizikal memihak kepada mereka.

"Kami dibarisi ramai pemain muda untuk siri jelajah kali ini.

"Saya tidak boleh bercakap banyak tetapi hanya cuba beraksi dengan baik apabila turun ke padang," katanya.

Enggan menafikan kehebatan tuan rumah yang mencipta kemenangan besar 7-0 ke atas Bhutan, April lalu, Fiji kini hanya perlu memanfaatkan kelemahan posisi serangan dalam skuad Harimau Malaya untuk mereka menerapkan aspek bertahan dengan lebih berkesan.

"Mungkin Malaysia jauh lebih baik berbanding kami tetapi kami ke sini untuk bermain bola sepak. Pemain-pemain sudah bersedia.

"Jika kami mendapatkan keserasian sebagai satu pasukan, saya yakin Fiji mampu melakar keputusan yang diinginkan."