Thibaut Courtois percaya dia sedang berkembang dengan beraksi dalam tekanan bersama Real Madrid di sebalik musim sukar Los Blancos.

Bekas penjaga gol Chelsea, Courtois, menyertai Real selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama Belgium dalam Piala Dunia 2018, namun bergelut dalam musim pertamanya di Santiago Bernabeu.

Courtois membuat 27 penampilan secara keseluruhan musim ini, namun kehilangan tempatnya apabila Zinedine Zidane mengambil alih tugas Santiago Solari, yang memilih Keylor Navas.

Pemain berusia 27 tahun itu kembali beraksi dalam kesebelasan utama tetapi Real gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila sekadar meraih tiga kemenangan daripada lapan perlawanan.

Musim mengecewakan sampai ke penghujungnya apabila berdepan Real Betis esok tetapi Courtois menegaskan situasi tertekan membantu meningkatkan mutu permainannya.

"Kami mahu mengakhiri musim ini dengan kemenangan untuk penyokong Real," kata Courtois.

"Kami sudah memulakan persiapan untuk musim depan dan meletakkan sasaran untuk menamatkan musim ini dengan baik.

"Ia merupakan impian saya beraksi dalam stadium yang besar, bermain sebagai penjaga gol di Bernabeu memberikan saya pandangan yang cantik.

"Kepada penyokong, saya meminta anda terus meletakkan kepercayaan kepada pasukan, kami menyedari menghadapi musim yang mengecewakan dan kami akan berusaha untuk menjulang gelaran musim depan."