Ketika beliau membuat persiapan memasuki alam kejurulatihan senior yang pertamanya, ikon Liverpool, Steven Gerrard, berkata jawatan pengendali bersama Rangers merupakan sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.

Gerrard akan mengambil alih tugas di Ibrox bermula 1 Jun ini selepas menandatangani kontrak selama empat tahun, awal bulan ini.

Bekas kapten England itu meninggalkan tugas di akademi Liverpool selepas semusim tetapi menjelaskan apabila tawaran datang daripada Rangers, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.

"Ia merupakan satu cabaran dan peluang yang baru buat saya memasuki alam kejurulatihan," kata Gerrard.

"Saya pergi kali ini dengan restu penyokong dan semua individu kelab kerana mereka melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk saya maju ke hadapan.

"Saya menikmati saat di akademi. Saya telah dibantu jurulatih-jurulatih hebat yang membantu saya berkembang dalam bidang ini.

"Saya berharap dapat menggunakan setiap pengalaman yang diraih dan membantu mencipta kejayaan bersama Rangers," katanya lagi.