VALENCIA 0 JUVENTUS 2

Cristiano Ronaldo diarah keluar padang dalam aksi sulung Liga Juara-Juara bersama Juventus tetapi dua jaringan penalti Miralem Pjanic memastikan kemenangan 2-0 yang penuh dramatik ke atas Valencia, awal pagi tadi.


Bekas penyerang Real Madrid, Ronaldo, diarah keluar padang selepas hanya 29 minit dalam aksi di Sepanyol itu berikutan insiden yang melibatkan Jeison Murillo.

Pengadil perlawanan, Felix Brych, telah mendapatkan nasihat daripada pembantunnya dan melayangkan kad merah kepada Ronaldo yang dilihat mencuba untuk menarik rambut Murillo.

Ini bermakna pemain berusia 33 tahun itu yang mengalirkan air mata selepas keputusan itu dilakukan, berkemungkinan terlepas aksi berdepan Manchester United bulan depan jika UEFA memilih untuk melanjutkan penggantungan pemain tersebut.

Kehadiran Ronaldo telah meningkatkan harapan Juve untuk menamatkan penantian 22 tahun untuk bergelar juara Eropah, dengan Bianconeri mempamerkan mereka masih mampu bertindak cemerlang tanpanya selepas dua sepakan penalti Pjanic memastikan tiga mata diraih.

Mario Mandzukic, Sami Khedira dan Blaise Matuidi gagal menyempurnakan peluang sebelum Ronaldo diarah keluar padang.

Pjanic tenang menghadapi suasana tegang di Mestalla, menyempurnakan penalti selepas terjahan Daniel Parejo terhadap bekas rakan sepasukan, Joao Cancelo.

Brych sekali lagi memberikan sepakan penalti kepada pelawat enam minit selepas perlawanan bersambung, dengan pemain kebangsaan Bosnia dan Herzegovina itu menggandakan kelebihan buat kelab Serie A itu bagi memastikan tiga mata diraih di laman lawan.