Tim Cahill mengucapkan terima kasih kepada rakan senegara, jurulatih dan penyokong selepas mengakhiri perjalanannya sebagai pemain kebangsaan Australia.

Penyerang berusia 38 tahun itu hadir sebagai pemain gantian pada 10 minit terakhir ketika The Socceroos merakamkan kemenangan 3-0 dalam aksi persahabatan berdepan Lubnan.

Dia gagal untuk menambah bilangan gol yang ke-51 dalam penampilan yang ke-108 buat negaranya selepas dua gol daripada Martin Boyle dan jaringan dalam separuh masa
kedua Mathew Leckie memastikan perlawanan terlalu jauh untuk dikejar pasukan lawan.

Menerima sambutan bagaikan seorang wira, Cahill mengucapkan terima kasih kepada setiap pihak yang hadir menyaksikan pertemuan di Stadium ANZ itu selepas tamat perlawanan.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya sejak hari pertama lagi," katanya. "Pengorbanan yang dilakukan keluarga membenarkan saya turun beraksi setiap kali dengan persembahan terbaik.

"Yang kedua, saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan staf jurulatih. Tanpa mereka, saya tidak mampu menjadi seperti hari ini. Jurulatih dan pemain yang tidak bersama kami hari ini, saya mengucapkan sebanyak-banyak terima kasih.

"Kini, golongan terpenting bagi saya -- penyokong Australia. Saya hanya mahu nyatakan betapa pentingnya anda semua dalam perjalanan saya. Jadi, terima kasih Australia."

Cahill kemudian bercakap kepada Fox Sports, diiringi empat anaknya, membincangkan mengenai kariernya selepas membuat penampilan dalam empat edisi Piala Dunia serta kejayaan merangkul Piala Asia.

"Saya berbangga kerana meninggalkan permainan ini dengan pencapaian yang telah diraih. Ini merupakan malam yang penuh dengan kenangan manis. Terima kasih Australia."

Cahill bakal kembali ke saingan kelab bersama Jamshedpur dalam Liga Super India selepas meraih pengalaman beraksi di England, Amerika Syarikat, China dan Australia.