Juara liga, Besut United, meneruskan misi kejuaraan berganda selepas mara ke pusingan kalah mati separuh akhir Piala Liga Amatur Terengganu (TAL).

Menanti pasukan itu dalam aksi Jumaat ini adalah Markless ST dengan satu slot ke final menjadi buruan kedua-dua pasukan.

Terdahulu dalam pertemuan suku akhir, Besut United meloloskan diri dengan kemenangan 2-0 ke atas Gemuda FC hasil jaringan Mohd Akid Wahab dan Naim Firdaus Mat Zain.

Markless ST pula tidak berdepan masalah membenam Delima Warriors dengan tiga gol tanpa balas disumbangkan Akram Asidi, Nik Aznil Shyam Nik Affandi dan Azziq Zahazani.

Satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) dan juara saingan Premier, Kerteh FC, pada Ahad.

Kedua-dua perlawanan dijadualkan bermula jam 3.45 petang bertempat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)


Editor: Nafis Abdullah