TABS SAFA Bandaraya perlu kekal kredibiliti

Oleh Willie Jude 10 September 2019 311
TABS SAFA Bandaraya perlu kekal kredibiliti
TABS SAFA Bandaraya perlu mengekalkan kredibilitinya sebagai sebuah akademi yang mampu melahirkan pemain-pemain muda berkualiti di Sabah. 

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Bandaraya Kota Kinabalu, Alijus Sipil, berkata, TABS telah buktikan keupayaannya memberi latihan dan pendedahan berkesan kepada pemain-pemain bermula dari usia kanak-kanak hingga remaja.

"TABS perlu meneruskan keberkesanannya menerusi program pembangunan akar umbi yang berupaya melahirkan ramai pemain-pemain muda," katanya ketika menghadiri mesyuarat ahli jawatankuasa TABS SAFA Bandaraya di Kota Kinabalu, semalam. 

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Sulaiman Mohd Noor selaku Pengerusi TABS SAFA Bandaraya.

Alijus yang juga penasihat TABS turut berharap pengurusan baik badan itu diteruskan bagi membolehkan keyakinan pihak penaja iaitu CIMB Foundation.

Difahamkan penajaan institusi kewangan itu akan masuk tahun keempat pada tahun hadapan.

Alijus berkata, penajaan CIMB Foundation telah banyak membantu TABS meningkatkan program pembangunan akar umbi di samping membolehkan lebih banyak aktiviti dapat dijayakan.

"Kita mahu semua pihak pengurusan dan para jurulatih terus menunjukkan komitmen mereka serta sentiasa mencari pendekatan baru dalam usaha meningkatkan lagi program pembangunan sedia ada," katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Asneh Mohd Noor yang juga Naib Pengerusi IV TABS.
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen