BRAZIL 1 URUGUAY 0

Pengendali Uruguay, Oscar Tabarez, berpuas hati dengan aksi dipaparkan barisan pemain mudanya walaupun tewas 0-1 kepada Brazil dalam aksi persahabatan di London, awal pagi tadi.


Neymar menjaringkan gol penalti kontroversi pada minit ke-76 selepas Diego Laxalt dipersalahkan ketika melakukan terjahan ke atas Danilo yang terlebih dahulu dilihat terpegang bola dalam insiden itu.

Selain percubaan lewat Richarlison, hanya sepakan penalti itu mampu menembusi keampuhan pertahanan Uruguay yang dikemudi Diego Godin, Jose Gimenez serta penjaga gawang berpengalaman, Fernando Muslera.

Keputusan perlawanan mungkin berubah andai Alisson tidak menyelamatkan siri percubaan menarik daripada Luiz Suarez dan Edinson Cavani.

Tabarez, percaya barisan pemain mudanya itu mampu menyinar pada masa depan, terutama Mathias Suarez dan Bruno Mandez yang melakukan penampilan antarabangsa pertama dalam perlawanan itu.

"Saya gembira dengan persembahan pasukan. Kami akan terus berkembang," katanya dalam sidang media.

"Sukar untuk bersaing dengan menggunakan barisan pemain yang kurang berpengalaman.

"Bruno merupakan kapten pasukan B-20, namun memaparkan aksi yang cukup menyerlah.

"Bruno dan Mathias seakan-akan pemain berpengalaman walaupun dalam usia yang muda.

"Perkara seperti itu amat penting untuk meningkatkan potensi pasukan daripada segi pemilihan pemain.

"Kami memaparkan perlawanan yang setara, memperoleh banyak peluang dan amat perit untuk tewas dengan kontroversi seperti itu.

"Kami memaparkan aksi positif walaupun berdepan Brazil," katanya lagi.